TANGKAK: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pandemik Covid-19 adalah cabaran paling sukar untuk diuruskan meskipun sudah berpuluh tahun beliau menjadi pemimpin dalam kerajaan yang berbeza-beza.
Perdana Menteri berkata, soal mengurus kehidupan dan nyawa dalam berdepan pandemik tersebut perlu diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Saya berada dalam banyak kerajaan. Tuan-tuan tanya apa kerajaan, semua saya dah ada, tetapi tak pernah saya saksi apatah lagi menanggung beban sebagaimana saya hadapi pada hari ini.
“Ini (Covid-19) urusan pertama saya sejak awal saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, ini rezeki orang Bukit Gambir dan Pagoh (saya jadi Perdana Menteri),” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang 5 Darat di Bukit Gambir, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh bagaimanapun percaya, cabaran itu adalah ujian daripada Allah SWT untuk dirinya serta semua rakyat di negara ini untuk melihat bagaimana untuk menguruskan kehidupan supaya negara kembali menjadi maju dan berjaya.
“Harapan kita untuk melihat keadaan ekonomi berkembang, kegiatan yang menambah peluang kerja dan pendapatan serta pelbagai lagi untuk menjadikan negara kita maju dan jaya.
“Tetapi dengan Covid-19 yang melanda negara maka ekonomi kita sudah menguncup, tak pernah berlaku dalam sejarah ekonomi kita menguncup sehingga -17 peratus, walaupun pada hujung tahun ada peningkatan sikit namun belum pulih sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE