Satu aduan peniaga jual barangan melebihi skim harga perayaan

KPDNHEP Selangor terima satu aduan peniaga jual barangan melebihi skim harga perayaan

MUHAMAD ZIKRIL AZAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor menerima satu aduan berhubung peniaga yang menjual barangan melebihi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, aduan daripada orang awam diterima lewat petang semalam melibatkan peniaga di Pasar Seksyen 16 di sini.

“Awal pagi tadi kita telah bertemu dengan peniaga terbabit untuk menjalankan siasatan. Peniaga terbabit mendakwa terlepas maklumat berhubung harga kawalan ditetapkan kerajaan.

“Siasatan juga mendapati peniaga terbabit telah mengikut harga kawalan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 dilaksanakan selama 30 hari bermula semalam sehingga 20 Mei hadapan.

KPDNHEP telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan ini namun di Selangor, sebanyak 10 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan skim itu terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Tambah Muhamad Zikril Azan, peniaga yang menaikkan harga secara mendadak dan ketara boleh dikenakan tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan Skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Oleh demikian, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN