SAM gesa siasat penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi  - Utusan Malaysia

SAM gesa siasat penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi 

KEADAAN lereng bukit yang diteroka di Persiaran Sungai Emas 3, Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak yang menggesa siasatan segera dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyiasat penerokaan tanah bukit yang didakwa berlaku berhampiran Persiaran Sungai Emas 3, Batu Ferringhi di sini. 

Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya menerima aduan  orang awam mengenai sebidang tanah yang dibersihkan di kawasan tersebut. 

Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati  lereng bukit di situ  telah dipotong secara teres dan berkemungkinan untuk tujuan pertanian.  

“Pengadu menghantar tangkapan skrin daripada aplikasi Google Earth kepada kami yang dengan jelas menunjukkan sebidang tanah sedang dibersihkan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini. 

Meenakshi memberitahu, semasa tinjauan pihaknya menemui jalan masuk yang menuju ke tanah yang dibersihkan tetapi tidak dapat pergi jauh ke kawasan berkenaan. 

“SAM berpandangan penerokaan tanah bukit di situ boleh menyebabkan ancaman bencana dan memusnahkan kawasan hutan. 

”Sekiranya hujan lebat dan berterusan, kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah adalah tinggi,” katanya. 

Justeru,  kata beliau, SAM menggesa pihak berkuasa turun ke lokasi bagi menyiasat status tanah, kerja yang dilakukan dan mengenal pasti sama ada ia adalah penerokaan haram. 

“Pihak berkuasa juga mesti mendedahkan kepada orang ramai sekiranya kerja tanah di situ melanggar Akta Pemuliharaan Tanah 1960 yang berkaitan dengan pemuliharaan bukit dan pelindungan daripada hakisan tanah dan larian kelodak. 

“SAM berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan segera terhadap penerokaan tanah bukit ini dan di kawasan lain kerana semakan di Google Earth menunjukkan terdapat banyak lereng bukit yang dibersihkan di banjaran bukit di situ dan bahagian lain di pulau,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya