ROMPIN: Siapa sangka daripada seorang peniaga kuih bakar kini ‘beralih angin’ dengan menceburi bidang perniagaan yang jarang dipelopori kaum wanita terutama yang sudah berusia namun, Rokiah Harun, 59, membuktikan dia mampu berbuat demikian.
Rokiah berkata, sejak setahun lalu menguruskan operasi rumah rakit bersama suami, Mohd. Sohud Md. Amin, 59, dengan bantuan anak sulung mereka, Mohd. Rizal, 39, di Kampung Bangkong, Kuala Rompin, di sini.
Menurutnya, walaupun di peringkat awal tidak mahir dalam bidang itu, namun dengan bantuan anaknya dia berjaya ‘menghidupkan’ dua rumah rakitnya yang semakin dikenali dalam kalangan kaki pancing.
Baginya, sokongan suami dan anak-anak menjadi pembakar semangat untuk terus aktif dalam bidang perniagaan walaupun cabang perniagaan yang amat berbeza.
“Saya lakukan semua ini untuk memberikan kehidupan dan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak selain membantu suami yang bekerja sendiri,” kata ibu kepada enam anak itu.
Menceritakan perjalanan perniagaannya itu, Rokiah berkata, dia berdaftar sebagai Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1998 dan membuat pinjamam RM500 untuk modal berniaga kuih.
“Saya guna pinjaman itu sepenuhnya untuk membeli peralatan membuat kuih bakar. Alhamdulillah, jualan saya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa tahun berjualan kuih, mereka sekeluarga membuat keputusan mengusahakan ladang kelapa sawit bagi menjana pendapatan yang lebih baik.
“Suami bekerja sendiri dan memang kehidupan kami agak susah ketika itu, namun saya tidak berputus asa mencari peluang menambah pendapatan,” katanya.
Bagi mengurangkan bebanan kerja Rokiah dan Mohd. Sohud, Mohd. Rizal akhirnya menyuarakan cadangannya membina rumah rakit dengan modal RM50,000 tahun lalu dan sebahagiaannya menerusi pinjaman AIM.
Katanya, Rumah Rakit Amaraisya menawarkan dua jenis penginapan masing-masing dua bilik iaitu Deluxe yang boleh memuatkan maksimum 10 orang dengan harga RM200 dan unit banglo dengan kapasiti 20 orang berharga RM490.
Antara kemudahan disediakan ialah dapur, peti sejuk, seterika, televisyen, meja santai, periuk nasi elektrik, pinggan mangkuk, dapur gas, pemanas air, tempat BBQ, kerusi meja, bot dan ruang untuk memancing sambil bersantai.
Selain itu, Rumah Rakit Amaraisya juga menawarkan hidangan istimewa Udang Galah Masak Lemak Cili Api, Udang Galah Masak Sambal dan Sambal Belacan Nanas kepada mereka yang berminat untuk menikmatinya.
Sebagai wanita yang pernah melalui ‘zaman susah’, Rokiah turut mempelawa wanita berpendapatan rendah menjadi ahli AIM yang menawarkan pinjaman untuk memulakan perniagaan.
Bagi mereka yang berminat menggunakan perkhidmatan rumah rakit Rokiah, boleh menghubunginya di talian 010-3050901. – UTUSAN