ALOR GAJAH: “Walaupun kami tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur dapat selamatkan emak. Tak apalah Allah nak uji kami hilang harta benda bulan Ramadan, yang penting emak ada,” kata Wan Siti Faisma Basir, 43, ketika ditemui Utusan Malaysia.
Kediaman pusaka milik ibunya, Nurisah Tahir, 79, hangus keseluruhan dalam kejadian kebakaran di Kampung Durian Daun di sini pada pukul 3 pagi, Rabu lalu.
Wan Siti Faisma berkata, dia dan suami, Sulaiman Kaus, 42, serta tiga anaknya masing-masing berusia tiga, empat dan lima tahun turut mendiami rumah tersebut bagi menjaga Nurisah yang menghidap kencing manis, penyakit jantung dan darah tinggi.
“Ketika kejadian pukul 3 pagi, kami sekeluarga tidur sebelum terdengar bunyi letupan dari serambi rumah dan terus bangun untuk melihat keadaan.
“Suami cuba padamkan menggunakan paip getah, namun tidak berhasil dan kami terus papah emak dan bawa anak-anak keluar,” katanya.
Sementara itu, Nurisah yang berkerusi roda memberitahu, rumah tersebut peninggalan ibunya dan dibina secara berperingkat oleh arwah suami.
“Mak cik sedih sebab rumah ini rumah pusaka, arwah suami yang ubah suai rumah ini.
“Hebat ujian Allah berikan kepada keluarga kami, tahun 2019 anak bongsu mak cik meninggal, tahun lepas anak sulung pula. Tahun ini, satu-satunya rumah pusaka hangus terbakar,” katanya dengan nada sebak.
Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menziarah keluarga tersebut dan menyampaikan sumbangan RM3,000 serta barangan keperluan asas.
Sulaiman berkata, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka akan membina rumah baharu secepat mungkin dengan peruntukan sebanyak RM40,000. – UTUSAN
HABIS///