KLUANG: Rumah pusaka didiami seorang pesara guru sejak 1958 hanya tinggal rangka kayu apabila musnah terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam di Kampung Melayu, di sini.
Kejadian tersebut berlaku ketika Mohd. Zulkefli Mohd. Yassin, 81, keluar seketika untuk mengambil bubur lambuk secara pandu lalu di surau berhampiran.
“Dalam perjalanan pulang, dari jauh saya nampak asap hitam dan tercetus di hati apa benda yang terbakar. Apabila menghampiri rumah saya terus istighfar apabila melihat api menjulang tinggi.
“Tidak sampai setengah jam sahaja api yang marak dan menjulang tinggi itu membakar rumah saya sehingga hanya tinggal rangka kayu,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya hari ini.
Terdahulu, Mohd. Zulkefli yang tinggal bersama beberapa ahli keluarga yang lain di rumah itu menerima kunjungan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi.
Tambahnya, mujur ketika kejadian tiada sesiapa yang berada di rumah tersebut namun kesemua barangan tidak sempat diselamatkan. – UTUSAN ONLINE