RM79.3j peruntukan tambahan kepada tentera darat - Utusan Malaysia

RM79.3j peruntukan tambahan kepada tentera darat

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota tentera yang memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak RM79.3 juta peruntukan tambahan telah diluluskan sepanjang 2020 sehingga kini kepada tentera darat susulan lawatan kerja Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke kem-kem tentera darat di seluruh negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, peruntukan yang disalurkan termasuklah bagi kerja-kerja penyelenggaraaan bangunan teknikal, rumah-rumah anggota tentera serta penurapan jalan.

“Hasil daripada lawatan kerja oleh Datuk Seri (Ismail Sabri) sepanjang 2020 dan 2021, peruntukan tambahan berjumlah RM79.296 juta telah diluluskan kepada tentera darat.

“Peruntukan tambahan ini antaranya melibatkan kerja penyelenggaraan bangunan teknikal, naik taraf rumah keluarga anggota tentera, penurapan jalan dan penyelenggaraan dewan serbaguna.

“Semua ini dilaksanakan Datuk Seri dengan hasrat untuk menjamin kebajikan warga tentera darat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini malam kelmarin.

Tambah Zamrose lagi, sepanjang menjadi Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri sentiasa komited meningkatkan pembangunan serta keupayaan dan kebajikan warga tentera darat.

“Kesiapsiagaan tentera darat sebagai benteng utama pertahanan negara sentiasa diberikan keutamaan, dalam perolehan aset-aset baharu serta selenggaraan aset sedia ada bagi menjamin kebolehoperasian tentera darat tidak dikompromi.

“Walaupun sering dihambat kesibukan tugas, namun Datuk Seri tetap berusaha memperuntukam masa untuk laksanakan lawatan ke kem-kem tentera darat bagi melihat sendiri permasalahan dan bantuan yang boleh disalurkan ke kem-kem berkenaan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN