RM1.34 juta naik taraf kem Pulada - Utusan Malaysia

RM1.34 juta naik taraf kem Pulada

ISMAIL Sabri Yaakob memeriksa barisan kehormat ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulum Tiram, Johor, kelmarin. – UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kunjungan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang terletak di Ulu Tiram, di sini pastinya mengukir senyuman kepada warga pusat latihan tersebut, kelmarin.

Ini kerana, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan bersetuju untuk memperuntukan kira-kira RM1.7 juta bagi menaik taraf penginapan penuntut kursus dan membaiki atap masjid di Pulada.

Malah, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM6.4 juta bagi tambahan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM 2.2 juta lagi untuk pembinaan pagar kem yang akan dimasukkan dalam bajet Kementerian Pertahanan pada tahun hadapan.

Menurut beliau, ia diluluskan berdasarkan keperluan dalam memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di tahap tertinggi, selain mengutamakan kebajikan anggota.

“Setiap kem, kerajaan meluluskan peruntukan berdasarkan keperluan dan yang boleh diluluskan segera kerajaan akan usahakan secepat mungkin. Seperti di Pulada ini, ada beberapa permohonan sewaktu taklimat dijalankan.

“Ia meliputi menaik taraf penginapan peserta kem iaitu peruntukan berjumlah RM340,000, selain yang segera dirasakan perlu dilakukan iaitu membaiki bumbung masjid di sini yang sudah bocor dan memerlukan peruntukan kira-kira RM1 juta.

“Selain itu, antara yang diluluskan adalah pagar kem ini, walaupun orang luar takut mahu masuk tanpa kebenaran, tetapi ia perlu dinaik taraf membabitkan peruntukan bernilai RM2.2 juta,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Pulada, Ulu Tiram, di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd. Zain serta Komandan Pulada, Kolonel Saiful Bahari Zainol.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi isu 32 keluarga yang masih belum mendapat perumahan selesa, permohonan yang dicadangkan adalah sekitar RM6.4 juta dan pihaknya akan memasukkan dalam peruntukan tahun hadapan.

“Tadi jumlah kita luluskan pada awalnya adalah RM1.34 juta dan tidak termasuk sistem pendingin hawa di dewan yang mana saya baru perasan walaupun mereka tidak minta tapi ia keperluan mendesak kerana mereka banyak melaksanakan program di sini.

“Maka, kita akan buat pengiraan untuk kemudahan tersebut yang dianggarkan jumlah keseluruhan diluluskan segera termasuk untuk membaiki atap masjid dan naik taraf penginapan berjumlah kira-kira RM1.7 juta,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri yang mengadakan lawatan rasmi pertama ke kem itu dipersembahkan dengan ketangkasan tiga ekor anjing perang dari Cawangan Serigala yang mengesan barangan terlarang dan bahan letupan.

Persembahan kira-kira 10 minit itu dilakukan anjing 9 M 05 Storm dari baka Rottweiler; 9 M 11 Bobby baka Belgian Shepherd dan juga 9 M 02 Taker baka British Pointer.

Beliau turut meluangkan masa meninjau perkembangan pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur yang sedang dibangunkan di Pulada di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menelan belanja kira-kira RM 26 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya