RISDA, Felcra bayar dividen RM189.08 juta - PM - Utusan Malaysia

RISDA, Felcra bayar dividen RM189.08 juta – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM189.08 juta kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen tersebut sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu komuniti pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi itu.

Menurut beliau, seramai 16,080 pekebun kecil RISDA yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan seramai 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK) bakal menerima dividen tahun 2020 dengan jumlah RM82.03 juta melibatkan keluasan 39,430 hektar.

“Saya difahamkan RISDA turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat berjumlah RM2.48 juta.

“Sebanyak 58,826 peserta Felcra Berhad di seluruh negara akan menerima agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 sejumlah RM107.053 juta secara berperingkat, bermula hari ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra tahun 2021 di Ibu Pejabat RISDA di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, agihan akhir lebihan keuntungan Felcra 2020 itu hasil daripada keuntungan bersih 890 projek ladang milik peserta yang dimajukan Felcra.

Beliau menjelaskan, bayaran agihan itu melengkapkan amalan pembayaran keuntungan tahunan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada bulan Ogos, Disember dan April setelah akaun projek siap ditutup.

“Agihan keuntungan itu adalah hasil daripada keuntungan bersih 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh Felcra.

“Bakinya, iaitu 327 projek adalah terdiri daripada projek yang belum berhasil dan dalam fasa tanaman semula,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sekali lagi menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT 2021) kepada seramai 232, 319 pekebun kecil yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 69.9 juta membabitkan pembayaran RM600 seorang pada kadar RM300 untuk Disember ini dan Januari tahun depan.

Beliau memberitahu, pada tahun lalu, kerajaan melancarkan bantuan tersebut dengan peruntukan RM129.8 juta dan Bantuan Khas Covid-19 berjumlah RM64 juta.

Katanya, dalam usaha untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah, tahun ini kerajaan memperluas skop Bantuan Tanam Semula Getah dan pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain bertanam getah.

“Keluasan tanah yang melayakkan bantuan ini adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar. Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil malah kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong keperluan industri dan tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah skrap, kerajaan menyediakan Skim Insentif Lateks (SIL) melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM 500 / hektar.

Jelasnya, skim itu diperkenalkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan skrap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya