Rentas Singapura-Malaysia bukan satu janji - Utusan Malaysia

Rentas Singapura-Malaysia bukan satu janji

MOHD. Izhar Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan geran Bantuan Geran Orang Lokal kepada salah seorang penerima di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak pernah menjanjikan memperoleh kebenaran daripada kerajaan Singapura untuk memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang sudah divaksin di negara itu pulang ke tanah air menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, soal merentas sempadan itu masih dalam perbincangan dan belum diputuskan.

Katanya, terdapat segelintir pihak keliru berhubung perkara itu yang beranggapan bahawa kerajaan negeri menjamin bagi mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negara republik itu.

“Isu sempadan ini adalah melibatkan kerajaan dengan kerajaan dan terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi serta dipatuhi.

“Dalam soal ini, kita (kerajaan negeri) tidak dapat untuk memberi pengesahan kerana di luar bidang kuasa kita cuma akan terus cuba sebaik mungkin idea mengenainya dapat direalisasikan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program Pembangunan Usahawan Negeri Johor 2021 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Ahad lalu, beliau menyatakan kelonggaran itu sedang dibincangkan termasuk dengan menyediakan pas laluan hijau khas buat mereka yang terlibat.

Tambah beliau, keperluan vaksinasi adalah antara syarat yang dipersetujui Malaysia dan Singapura dalam rundingan untuk membuka pintu sempadan, oleh itu Johor akan mengikutinya.

“Kita diminta agar semua rakyat divaksin, jadi Johor mengambil langkah proaktif untuk segerakan proses vaksinasi bagi membolehkan kebenaran persetujuan pembukaan pintu sempadan dengan Singapura tercapai,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dijangka mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada awal bulan depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Izhar berkata, pihaknya dalam proses meminta kerajaan Singapura untuk memberi kelonggaran dan mempertimbangkan perkara tersebut.

“Kita berharap kerajaan Singapura akan mempertimbangkan perkara itu kerana pastinya pekerja kita di sana mahu pulang beraya dan mahu mengunjungi keluarga.

“Tapi, kita jangan ambil kira soal sempadan sahaja, dalam negara pun sekarang ini tidak boleh rentas negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN