PERMATANG PAUH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara peribadi mengakui amat terganggu dengan isu perbualan telefon antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar sejak semalam.
Jelas Reezal Merican, pandangan itu disuarakannya sebagai seorang individu yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi kerana selain dalang di sebalik perbualan tersebut, kandungan kepada perbualan itu juga menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun katanya, beliau lega kerana Ahmad Zahid telah tampil ke depan untuk menafikan dakwaan itu sekali gus dianggap sebagai tindakan awal untuk mempertahankan diri daripada terus ‘diserang’.
“Tapi sebagai ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO, saya ingin melihat penegasan yang lebih kuat serta kukuh dan saya juga akan bawa (usul) ini supaya kita lakukan penegasan yang lebih jelas.
“Kita tak nak kaburkan pandangan ahli (UMNO) lagi kerana sekarang sudah ada usaha untuk kaburkan pandangan-pandangan yang telah dimaklumkan kepada ahli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Ahmad Zahid sebelum ini menafikan wujud perbualan telefon antara beliau dengan Anwar yang menunjukkan dua pemimpin itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas UMNO bersetuju memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Reezal Merican menegaskan, tiada sesiapa berhak meminta Presiden UMNO daripada berundur kecuali dibuat melalui pemilihan UMNO itu sendiri.
“Pemilihan adalah satu jalan keluar yang saya fikir cukup demokratik. Jika Presiden dulu diberi mandat secara demokratik dan kalaulah buat pemilihan semula atau sudah ada pilihan lain, biarlah proses demokrasi juga yang menjadi penentu pemilihannya,” katanya.
Reezal Merican pada masa sama turut mengulangi pendiriannya untuk melihat pemilihan UMNO dijalankan tahun ini kerana beranggapan masanya telah tiba sekali gus memastikan tidak berlaku sebarang penangguhan pemilihan selepas ini. – UTUSAN ONLINE