RCEP: Lihat skop yang lebih luas - Utusan Malaysia

RCEP: Lihat skop yang lebih luas

PERJANJIAN antarabangsa bukan tentang lebihan dagangan semata-mata. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan hanya bersandarkan turun-naik imbangan dagangan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dalam sisi perdagangan antarabangsa, skop yang lebih luas perlu dilihat kerana lebihan dagangan semata-mata tidak semestinya baik untuk negara.

Kata beliau, yang lebih penting ialah keseimbangan dari sudut akses pasaran luar, keupayaan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dari luar serta keupayaan untuk membina kapasiti.

“Setiap negara mempunyai tahap pembangunan yang berbeza-beza.

“Sudah tentu negara yang sedang membangun tidak boleh bersaing dengan negara maju jika tidak diberikan ruang untuk berlakunya pemindahan teknologi di samping memelihara hak cipta bagi sesuatu inovasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi beliau, dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, unsur keadilan perlu dititikberatkan bagi memastikan persaingan dapat berlangsung dalam keadaan yang saksama untuk semua negara yang terlibat.

“Kerangka perdagangan antarabangsa terutamanya dari sudut perjanjian perdagangan yang melibatkan pelbagai negara yang mempunyai tahap pembangunan tidak sekata perlu berpaksikan keadilan dalam berdagang.

“Jadi, ia merupakan proses jangka panjang yang seharusnya memerlukan formula menang-menang,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan negara berpotensi kehilangan AS$4.1 bilion (RM16.93 bilion) setahun dari segi imbangan dagangan apabila menyertai RCEP menurut simulasi yang dijalankan Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Kanan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Dr. Rashmi Banga.

Simulasi tersebut turut menjangkakan Malaysia kehilangan AS$2.2 bilion (RM9.08 bilion) setahun dari segi hasil tarif selepas meratifikasi RCEP.

Malaysia bersama 14 negara lain menandatangani RCEP pada penghujung Sidang Kemuncak ASEAN November lalu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bulan lalu berkata, Malaysia akan meningkatkan usaha untuk mempercepat proses ratifikasinya menjelang tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya