Rakyat Korea Utara tinggal di negara ini peserta MM2H

Rakyat Korea Utara tinggal di negara ini peserta MM2H

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan semua rakyat Korea Utara yang dipercayai masih berada di negara ini merupakan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Memberitahu Utusan Malaysia, beliau berkata, pergerakan kesemua individu berkenaan telah dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun begitu, kata Abdul Hamid, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan sama ada mereka boleh tinggal di negara ini atau sebaliknya.

“Kita sudah kenal pasti mereka dan saya memberi jaminan negara masih terkawal,” katanya di sini hari ini.

Pada 22 Mac lalu, kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ kepada isu kelemahan sistem keselamatan MM2H.

Utusan Malaysia mendedahkan Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram adalah salah seorang peserta MM2H. 

Chol-myong bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai tinggal di Malaysia sejak program MM2H dilancarkan 2000.

Semalam, laporan Daily NK mendakwa Korea Utara tidak memanggil pulang ratusan pekerja termasuk ejen rahsia Jabatan Perindustrian Pembekalan Senjata (MID) negara itu yang menjalankan penyeludupan barang mewah serta senjata di negara ini.

Laporan itu turut mendakwa, MID terbabit dengan kegiatan penyeludupan senjata dan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebagai laluan bagi menyeludup senjata Korea Utara ke Iran, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk ‘mengimport’ senjata dari negara lain ke Korea Utara.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan belum menerima laporan berhubung dakwaan mengatakan Korea Utara masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barangan mewah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya