Rakaman CCTV kondo jadi bahan bukti kes pecah amanah Hasanah

Rakaman CCTV kondominium jadi bahan bukti kes pecah amanah Hasanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 fail rakaman kamera litar tertutup (CCTC) sebuah kondominium di Cyberjaya dekat sini dikemukakan di Mahkamah Tinggi hari ini sebagai bahan bukti kes pecah amanah wang US$12.1 juta (RM50.4 juta) melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Fail-fail berdurasi 60 minit itu yang dirakam di antara 9 Mei 2018 dan 30 Ogos 2018 diperolehi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada bahagian keselamatan kondominium itu ketika siasatan kes.

Salah sebuah fail rakaman itu yang dipertontonkan di mahkamah menunjukkan sepasukan pegawai SPRM membawa keluar sejumlah kotak yang disorong menggunakan troli melalui lif selepas menggeledah kondominium itu pada 30 Ogos 2018.

Bagaimanapun, mahkamah tidak diberitahu kandungan kotak-kotak berkenaan atau daripada unit mana kotak-kotak tersebut diperolehi.

Rakaman CCTV itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan melalui keterangan pegawai forensik SPRM yang memeriksa dua barang kes iaitu sebuah pemacu kilat (flash drive) mengandungi rakaman CCTV di sekitar lif kondominium manakala satu cakera keras mengandungi rakaman CCTV di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Rakaman di JPM yang juga berdurasi satu jam itu akan dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh, esok.

Saksi pendakwaan kelapan, Penguasa Kanan Bahagian Teknologi Forensik SPRM, Badri Azni berkata, dia telah diminta oleh pihak siasatan agar memeriksa kedua-dua barang kes itu bagi mendapatkan rakaman video dan salinan pendua.

Ujarnya, kedua-dua barang kes itu yang diterima pada 19 September 2018 berada dalam keadaan baik manakala rakamannya juga tidak dikacau ganggu atau menghadapi sebarang masalah ketika pemeriksaan dijalankan.

CCTC itu yang dirakam di sekitar luar lif di kawasan tingkat 13 berdasarkan tarikh tertentu, kemudian dimainkan di mahkamah satu persatu.

Ia menunjukkan pergerakan keluar masuk individu-individu tidak dikenali manakala rakaman terakhir pada 30 Ogos 2018 menunjukkan beberapa orang lelaki menyorong keluar sejumlah kotak menggunakan troli.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal pada sesi pemeriksaan utama, Badri berkata, pasukan siasatan tidak memaklumkan kepadanya identiti sekumpulan lelaki yang membawa keluar kotak-kotak berkenaan.

Pada 6 Oktober tahun lalu, saksi pendakwaan pertama, Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Nizhar Kadi memberitahu mahkamah bahawa agensi  itu terlibat menjalankan operasi  kes tersebut.

Dalam keterangannya beliau berkata, pada 30 Ogos 2018 pasukannya menggeledah satu unit kondominium di  Cyberjaya dan telah menyita  wang tunai berjumlah US$4.07 juta.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Hasanah yang didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.

Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya