TANJUNG MALIM: Ahli UMNO dinasihat agar tidak cepat melenting berikutan pendedahan rakaman audio perbualan telefon yang mengaitkan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, rakaman audio berkenaan perlu disiasat untuk membuktikan kesahihannya dan tidak seharusnya dipercayai seratus peratus.
Katanya, pada peringkat ini UMNO Perak tidak ambil apa-apa tindakan kerana mahu menunggu siasatan mengenai keasliannya ataupun ia telah diedit.
“Dalam era digital ini macam-macam ada. Nasihat saya kita tak boleh terima seratus peratus, tunggu sehingga siasatan dibuat dan elok tanya Presiden parti betul ke tak betul.
“Nasihat saya juga kepada rakan-rakan jangan cepat melenting, jangan cepat buat tindakan-tindakan atas emosi, kita kena rasional, kita kena tanya tuan tubuh sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Menteri Besar Bersama Rakyat di Parlimen Tanjung Malim di sini hari ini.
Saarani ditanya mengenai rakaman audio perbualan telefon yang tular dalam media sosial dan aplikasi perbualan dalam talian mengaitkan Ahmad Zahid dan Anwar yang didedahkan sebuah portal berita semalam.
Rakaman telefon itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO mengumumkan mandat yang diperolehnya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan telefon itu yang menunjukkan dua pemimpin itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas UMNO bersetuju memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN ONLINE