PETALING JAYA: Luahan beberapa murid Tahun Enam sewaktu sesi libat urus berkenaan hala tuju Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih segar dalam ingatan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin sehingga kini.
Menurut Radzi, masih diingati keluhan seorang murid Tahun Enam yang menceritakan bagaimana dia tidak ada ruang untuk melakukan aktiviti lain kerana perlu fokus kepada UPSR.
Paling mengejutkan menteri itu apabila murid berkenaan terlalu bimbang tidak akan mendapat keputusan 6A seperti ahli keluarga lain.
“Apabila saya bertanya seronok tiada UPSR? Murid itu jawab ‘Kalau boleh jangan ada UPSR pak cik.’ Saya tanya lagi mengapa, dia jawab ‘Saya tidak pandai pak cik, tapi emak saya selalu tekan saya supaya dapat 6A’.
“Kata murid itu lagi keluarganya semua cemerlang UPSR, tetapi nak buat macam mana, dia dah cuba dan cuma tetapi tidak pandai. Dia cakap ‘Sekarang ini saya takut, pak cik. Habislah saya kalau tak dapat 6A’.
“Ya Allah tersentak kerana murid yang masih kecil ini tertekan. Saya kata sabar adik dan ikhtiarkan terbaik kerana perjalanan hidup masih jauh. Anak itu kemudian jawab ‘Tapi saya takut pak cik’,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam Kementerian Pendidikan mengumumkan UPSR dimansuhkan tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.
Radzi berkata, mendengar pandangan murid merupakan keunikan sesi libat urus dilakukan pihaknya bagi mendengar sendiri luahan mereka tentang UPSR selain pandangan guru dan ibu bapa.
Jelas beliau, pihak kementerian telah mengadakan perbincangan demi perbincangan untuk mencari pendekatan terbaik dalam menilai pembangunan murid secara menyeluruh bagi memastikan mereka diberikan ruang dan peluang mengoptimumkan potensi diri.
“Bagi sesi libat urus, kami bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri untuk berbincang dan mendengar pandangan dan cadangan guru, murid serta ibu bapa. Secara keseluruhannya, sesi ini melibatkan hampir 2,000 peserta,” katanya.
Jelas Radzi, pihaknya yakin keputusan pemansuhan itu adalah terbaik dan bukan untuk kerajaan tetapi untuk generasi pewaris negara.
“Saya sentiasa ingatkan pasukan kementerian bahawa setiap keputusan tentunya tidak akan memuaskan hati semua pihak. Apa yang penting, setiap keputusan dibuat secara objektif dan bertunjangkan asas yang kukuh dengan analisis mendalam,” katanya. – UTUSAN