Pusat simpan, edar ayam, Gerakan masih tunggu jawapan - Utusan Malaysia

Pusat simpan, edar ayam, Gerakan masih tunggu jawapan

H'NG KHOON LENG (kanan) dan barisan pemimpin Gerakan Pulau Pinang menunjukkan papan tanda projek pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang yang menimbulkan rasa tidak puas hati peniaga-peniaga ayam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri masih menunggu maklum balas kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung kontroversi pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang di sini.

Ketua Biro Pengaduan Awam, H’ng Khoon Leng berkata, pihaknya sudah beberapa kali menghantar memorandum  malah turut mengadakan demonstrasi aman di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membantah penubuhan pusat tersebut. 

Namun, menurut beliau, pihaknya belum menerima maklum balas daripada kerajaan negeri sekali gus pihaknya tertanya-tanya berhubung status projek tersebut. 

“Sekiranya kerajaan negeri atau MBPP terus membisu, Gerakan negeri akan mengambil langkah susulan termasuk tindakan undang-undang bagi membela nasib peniaga-peniaga ayam yang berasa tertindas menerusi kaedah yang cuba diperkenalkan ini,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini. 

 Khoon Leng berkata, penubuhan pusat itu menimbulkan persoalan serius yang perlu dijawab kerajaan negeri terutama dari segi keperluan dan kelebihan khususnya kepada peniaga-peniaga ayam. 

Ini kerana jelasnya, apa yang diperlukan peniaga-peniaga ayam ketika ini adalah premis penyembelihan sendiri bagi menjamin bekalan ayam segar di pasar basah, bukannya pusat pengumpulan dan pengedaran seperti dirancang. 

Malah Khoon Leng berkata, pembinaan pusat itu seluas 3,527 meter persegi dengan kos mencecah sehingga RM11 juta turut menimbulkan persoalan. 

Ini kerana tambahnya, berdasarkan manual Jabatan Perkhidmatan Veterinar, tiga kategori pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hanya berkeluasan antara 93 sehingga atau lebih 130 meter persegi. 

“Majoriti peniaga ayam juga menolak penubuhan pusat itu yang disifatkan mereka satu bentuk monopoli pasaran sekali gus boleh mengancam periuk nasi peniaga,” katanya. 

Dakwa beliau, apa yang menjadi persoalan juga adalah syarikat yang bakal mengendalikan pengedaran ayam di pusat itu kelak langsung tidak mempunyai pengalaman dalam industri tersebut sebaliknya daripada latar belakang hartanah warisan. 

“Mengapa sebuah syarikat yang tiada pengalaman berkaitan dalam industri penternakan, penyembelihan dan pengedaran ayam dipilih untuk merancang, membina, mengurus dan menyelenggara pusat ini?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN