'Pusat panggilan' judi dalam talian terbongkar, 18 individu ditahan

‘Pusat panggilan’ judi dalam talian terbongkar, 18 individu ditahan

SEBAHAGIAN ahli sindiket yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian di sebuah rumah di Taman Orked Desa, Cheras, Kuala Lumpur. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan satu sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan sebuah rumah di Taman Orked Desa, Cheras sebagai ‘pusat panggilan’ di sini terbongkar selepas 18 individu ditahan semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11.45 malam itu telah dijalankan sepasukan polis dari cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada lelaki warga China (5), wanita warga China (5) dan lapan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai mempromosikan perjudian dalam talian bagi pasaran tempatan dan premis tersebut telah beroperasi sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan yang lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM25,000 sebulan.

“Setiap pekerja menerima upah antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan manakala penjaga premis menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan dan kegiatan itu juga dipercayai mampu meraih keuntungan harian sebanyak RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Saiful Annuar, sebanyak 109 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah unit modem, set komputer riba (27), wang tunai RM54,000 dan wang tunai RM386 dirampas dalam serbuan tersebut.

“Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan akan direman pada hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut dan anggaran nilaian rampasan adalah sebanyak RM300,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya