Pulau Pinang ketiga terbaik sebagai pulau untuk bersara

Pulau Pinang ketiga terbaik sebagai pulau untuk bersara

PULAU Pinang antara  lokasi terbaik kepada pesara yang masih berhasrat untuk mengembara ke seluruh dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas diiktiraf sebagai antara ‘15 pulau terbaik untuk bersara di dunia pada 202’. 

Pengiktirafan itu diberikan menerusi artikel yang diterbitkan majalah antarabangsa terkemuka Travel Awaits minggu lalu yang meletakkan Pulau Pinang di tempat ketiga selepas Malta dan Mallorca di Sepanyol. 

Lebih membanggakan, Pulau Pinang turut mengalahkan pulau-pulau di Asia Tenggara lain yang lebih popular antaranya Bali, Indonesia yang disenarai pada kedudukan kesembilan; Koh Samui, Thailand (10) dan Phu Quoc, Vietnam (11). 

Pulau lain yang turut disenaraikan adalah Ambergis Caye, Belize (4); Ireland (5); Roatan, Honduras (6); Isla Mujeres, Mexico (7); Isla Colon, Panama (8); Las Terrenas, Republic Dominica (11); Crete, Greece (12), Cozumel, Mexico (13) dan Caye Caulker, Belize (14). 

Penulis artikel itu, Kara Williams berkata, pengiktirafan tersebut diberikan hasil rumusan beberapa pihak profesional yang sudah berpengalaman hampir 40 tahun dalam penelitian terhadap trend bersara dalam kalangan masyarakat antarabangsa. 

Antara kriteria utama yang meletakkan pulau-pulau itu sebagai lokasi terbaik untuk bersara termasuk peluang untuk hidup lebih sederhana dan tenang tanpa memerlukan perbelanjaan tinggi. 

Merujuk kepada Pulau Pinang jelas beliau, negeri yang diberi jolokan Pulau Mutiara yang juga bekas jajahan British itu didiami masyarakat yang berbilang bangsa dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik sekali gus mengalu-alukan penduduk Amerika Syarikat (AS) khususnya. 

Malah beliau turut menyifatkan Pulau Pinang lokasi terbaik kepada pesara yang masih berhasrat untuk mengembara ke seluruh dunia memandangkan sektor penerbangan di negeri ini menghubungkan ke hampir seluruh negara di Asia Tenggara. 

Selain itu katanya, Pulau Pinang juga terkenal dengan kepelbagaian makanan khususnya gerai-gerai penjaja yang boleh didapati dengan mudah di pusat bandar Georgetown selain aktiviti rekreasi seperti mendaki dan selam skuba. 

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam reaksinya terhadap pengiktirafan itu melahirkan rasa bangga dan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghargaan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap negeri ini. 

Katanya, Pulau Pinang sejak sekian lama menawarkan banyak keistimewaan kepada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa sama ada dari segi lokasi pelancongan menarik; makanan; gaya hidup masyarakat; perubatan dan sebagainya. 

“Kos hidup yang boleh dianggap masih rendah berbanding bandaraya lain juga mungkin merupakan antara sebab mengapa masyarakat antarabangsa memilih Pulau Pinang sebagai lokasi untuk bersara dan kita berasa bangga serta mengambil maklum terhadap pengiktirafan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya