HULU TERENGGANU: Seorang pekerja kilang dari Kampung Machang, Ajil di sini membuktikan keikhlasan cintanya dengan menerima wanita kerdil yang berketinggian 118 sentimeter sebagai isteri.
Muhammad Azri Zaidi,19, yang bertemu jodoh menerusi permainan dalam talian, PUBG selamat disatukan dengan Syakila Norazma Amira Zuharsema, 27, di Pejabat Agama Daerah pada 18 Mac lepas.
Menurut Muhammad Azri, kekurangan isterinya bukan halangan untuk menyunting wanita berkenaan sebagai suri hati selepas berkenalan sejak Ramadan tahun lalu.
“Mulanya kami berdua hanya bergurau menyebut jom kahwin dan tidak sangka keluarga merestui sehinggalah kami selamat diijabkabulkan.
“Walaupun isteri serba kekurangan, namun dia tetap sempurna di mata saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Syakila Norazma Amira berkata, hatinya terpaut dengan keikhlasan Muhammad Azri yang tidak pernah berasa malu dengan keadaan fizikalnya di samping kematangan lelaki itu di sebalik usia yang masih muda.
“Sebelum ini saya pernah menerima lamaran lelaki lain tetapi pintu hati tidak terbuka sehinggalah berkenalan dengan suami dan saya bersyukur keluarga mertua dapat menerima saya seadanya,” katanya.