PRU-15: UMNO perlu bersedia - Utusan Malaysia

PRU-15: UMNO perlu bersedia

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) menyampaikan kit pilihan raya kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd. Lassim Burhan pada program Bangkit 15 UMNO Johor di Hotel Trove. – UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tanggal 1 Ogos ini perlu menjadi penanda kepada UMNO untuk mempersiapkan diri sebelum memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya tarikh itu menjadi detik penamat kepada pengisytiharan darurat di negara ini.

Ini kerana, UMNO berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak teragak-agak untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja perintah darurat ditarik balik atau lebih awal disamping keadaan penularan pandemik Covid-19 pula terkawal.

Justeru, bagi memastikan kesiapsiagaan parti menghadapi PRU-15, pelbagai kursus dan latihan ke arah penyediaan itu rancak diatur parti menerusi Biro Latihan dan Perkaderannya di seluruh negara.

Tidak hanya tertumpu kepada persediaan sebelum hari pengundian, kursus yang bermula sejak 12 Mac lalu dengan Kedah dan Perlis menjadi negeri pertama yang menganjurkan kursus tersebut, turut menekankan pengendalian semasa hari mengundi diikuti pasca PRU-15.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sinonim dengan nama programnya Bangkit 15, kursus tersebut memang dianjurkan khusus dengan pelbagai strategi supaya UMNO dapat bangkit semula untuk bertarung dalam PRU-15 kelak.

Beliau berkata, hanya tinggal empat negeri yang belum melaksanakan kursus dan latihan di bawah jenama Bangkit 15 itu memandangkan perlu memberi laluan kepada bulan Ramadan sebelum disambung semula di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah selepas ini.

Katanya, setelah kesemua negeri-negeri terlibat selesai mengadakan program Bangkit 15 masing-masing, maka UMNO pusat akan terus membuat penilaian dari segi persediaan keseluruhan parti bagi menghadapi PRU-15.

“Semua jenis latihan kita sediakan, kursus waktu pengundian dan selepas pilihan raya yang bermaksud selepas proses pengundian selesai, untuk pengiraan undi dan pelbagai lagi kursus berkaitan pilihan raya yang kita aturkan.

“Kita mahu bersedia pada setiap masa kerana kita tidak tahu bila PRU-15 akan diadakan tetapi memandangkan darurat tamat Ogos dan dijangka Covid-19 berkurangan seperti diucapkan Perdana Menteri, jadi kita perlu bersedia setiap masa untuk pilihan raya,” katanya selepas merasmikan program Bangkit 15 UMNO Johor di sini, kelmarin.

Majlis perasmian bagi kursus yang dianjurkan selama tiga hari itu turut dihadiri seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu sebelum itu.

Pada 24 Februari pula, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kesepakatan dalam UMNO masih utuh meskipun dilingkari beberapa isu ketika ini sehingga menyaksikan beberapa pemimpin memberikan pandangan yang berbeza.

“Itulah cara UMNO sejak dahulu lagi, kita tidak pernah sekat atau halang sesiapa (beri pandangan), tetapi terserah kepada ahli nak cakap apa kerana akhirnya yang membuat keputusan sewajarnya adalah di peringkat tertinggi parti dengan mengambil kira input daripada semua pihak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya