KUANTAN: Cadangan pelaksanaan projek komersial menerusi kerjasama dimeterai antara Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan sebuah syarikat hartanah baru-baru ini tidak melibatkan pembangunan tanah Hutan Mossy, Gunung Brinchang di pusat peranginan tanah tinggi itu.
Projek itu juga terletak di luar kawasan tadahan air Sungai Burung dan berada di bahagian bawah Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Bertam iaitu sembilan kilometer daripada Hutan Mossy melalui jalan darat.
Dalam kenyataan MDCH kepada Utusan Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan memaklumkan, projek yang dimaksudkan adalah usahasama MDCH bersama Casa Inspirasi Sdn. Bhd., anak syarikat LBS Bina Group Sdn. Bhd.
Jelasnya, perjanjian dimeterai pada 31 Mac lalu yang mana lokasi projek adalah di atas tanah lot hak milik MDCH iaitu HSD4908, Lot PT3288 berkeluasan 20.84 hektar dengan syarat nyata Bangunan Perniagaan.
“Komponen pembangunan yang dibangunkan adalah ruang perniagaan, pangsapuri perkhidmatan, kediaman dan bangunan rumah kedai,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan Hutan Mossy berdepan kemungkinan terjejas dan hilang daya tarikan berikutan cadangan pelaksanaan sebuah projek hartanah yang didakwa turut melibatkan kawasan terkenal dengan keindahan hutan berlumut itu.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, difahamkan pembangunan hartanah yang dicadangkan itu melibatkan tanah Hutan Mossy seluas 20.8 hektar.
Kata Dilip, pembangunan di Hutan Mossy yang sebahagian projek komersial itu dilaksanakan tidak lama lagi selepas perjanjian antara MDCH dan sebuah syarikat hartanah terkemuka di negara ini.
Mengulas lanjut, MDCH berkata, projek berkenaan tertakluk kepada Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Jadual Kedua iaitu melibatkan inkuiri dan pameran awam serta melalui Kajian
Penyelidikan Kesan Alam Sekitar yang sangat terperinci oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS). – UTUSAN