PETALING JAYA: Prestasi penjualan Proton dijangka terus mengukuh pada suku kedua selepas mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan penguasaan pasaran mencecah 23.6 peratus suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd. (PESB), Roslan Abdullah, jangkaan positif tersebut dipacu oleh jumlah pengeluaran yang setara dengan aras permintaan pada suku kedua.
Ujarnya, walaupun industri automotif tetap terdedah dengan kepada impak kadar jangkitan Covid-19 yang mempengaruhi rantaian bekalan dan barisan pengeluaran, insentif cukai jualan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menjadi faktor penting yang mempengaruhi jumlah jualan dalam tempoh tersebut.
“Penjualan Proton Saga akan tetap menjadi model paling laris syarikat berikutan permintaan yang semakin meningkat.
“Jumlah pengeluaran dan stok semakin baik dan seperti yang akan anda lihat nanti, jumlah Proton X50 meningkat kerana kami mula menghasilkan lebih banyak kenderaan utiliti sukan (SUV) itu di Tanjung Malim, Perak,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas menyampaikan prestasi suku pertama Proton.
Menurut Roslan, Proton memulakan tahun 2021 di luar jangka dengan hanya menjual 5,964 unit iaitu penurunan sebanyak 29.9 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 Januari lalu.
Selain itu jelasnya, stok ketika itu sangat rendah setelah ledakan penjualan akhir tahun serta tempoh masa yang kurang kerana perayaan Tahun Baharu Cina, mengakibatkan Proton tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.
“Bagaimanapun, seterusnya pada Februari dan Mac, kami menjual 11,686 unit pada Februari dan terus cemerlang dengan 14,770 unit pada Mac iaitu angka jualan tertinggi sejak September 2013.
“Penjualan antarabangsa atau eksport Proton juga meningkat kepada 219 unit pada Mac berbanding 187 unit pada Februari. Kita mencatat eksport sifar pada Januari bukan kerana tiada permintaan tetapi disebabkan pengurangan jumlah kapal untuk proses penghantaran selain peningkatan kadar jangkitan Covid-19,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun tanpa angka sebenar, pihaknya yakin penjualan eksport Proton untuk April ini akan meningkat kepada yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
“Apa yang membataskan kami hanyalah faktor logistik dan peningkatan permintaan pasaran tempatan. Permintaan eksport kami tetap kukuh buktinya, penjualan di Brunei adalah pada kecepatan tinggi dan seperti yang anda ketahui, Proton Saga telah mula dijual di Pakistan dan Kenya dengan pemasangan tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE