PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan video raya baharu dengan menampilkan kucing yang diberi nama Oyen sebagai watak utama dalam video tersebut.
Video berdurasi tiga minit itu bertujuan mengangkat tema kongsi rezeki dan berlatarbelakangkan usaha syarikat milik penuh kerajaan itu dalam memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Idea penghasilan video itu diilhamkan oleh Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Rafizah Amran dengan membawa mesej kemasyarakatan berkongsi rezeki untuk kesejahteraan bersama dalam menghadapi kehidupan yang penuh mencabar impak penularan wabak Covid-19.
“Video ini kami hasilkan dengan memilih Oyen iaitu seekor kucing yang selalu berada di projek transit aliran ringan (LRT) Wangsa Maju. Malah, pengguna pengangkutan awam memang sudah mengenali kucing tersebut.
“Permulaan video itu menayangkan Oyen sedang duduk meniarap di atas mesin tiket di sebuah stesen LRT dan memerhatikan para penumpang memasuki stesen. Perjalanan ceritanya dikembangkan dengan inisiatif Prasarana dan stafnya membantu serta berkongsi rezeki dengan golongan peniaga, petugas barisan hadapan termasuk kucing-kucing lain yang berada di stesen tersebut,” katanya.
Video raya itu ditayangkan semasa Majlis Iftar bersama Media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Norlia Noah serta barisan kepemimpinan kumpulan yang lain.
Prasarana sebelum ini melancarkan program ‘Rapid KL Support Lokal’ dengan memberikan khidmat percuma untuk mempromosi jualan yang dilakukan oleh peniaga dalam platform media sosial Rapid KL.
Program itu berjaya membantu lebih 1,000 peniaga barangan makanan termasuk peniaga dalam talian serta menerima maklum balas memberangsangkan menerusi ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Prasarana masih diteruskan semasa bulan Ramadan dengan melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Women of Will dengan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada ibu tunggal dan golongan wanita berpendapatan rendah (B40) di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, 10 Mei depan. – UTUSAN