PPZ-MAIWP sasar kutipan RM120 juta Ramadan nanti - Utusan Malaysia

PPZ-MAIWP sasar kutipan RM120 juta Ramadan nanti

ABDUL Hakim Amir Osman (dua dari kiri) bergambar bersama pengurusan tertinggi PPZ-MAIWP pada Sidang Media Kempen "Ramadan Untuk Semua", di sini, hari ini.-UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM120 juta sepanjang bulan Ramadan.

Pemangku Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan tiga peratus berbanding Ramadan lalu dengan kutipan sebanyak RM 117 juta.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, MAIWP juga telah menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5, RM7 dan RM14.

“Kadar bayaran zakat yang ditetapkan itu adalah mengikut harga beras yang dimakan.

“Semua umat Islam di Wilayah Persekutuan juga diseru merebut keberkatan Ramadan dengan menunaikan zakat bagi mengembalikan hak asnaf sebanyak 2.5 peratus yang terdapat dalam harta kita,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma PPZ, di sini hari ini.

Kempen itu berlangsung bertujuan memberi galakan kepada masyarakat Islam di Malaysia menunaikan zakat di bulan Ramadan.

Dengan bertemakan ‘Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama’, ia bersesuaian situasi pandemik dalam mewujudkan kitaran zakat komprehensif meliputi semua golongan tidak mengira lapisan pangkat dan darjat.

Abdul Hakim berkata, pihaknya juga menyediakan lima perkhidmatan dan saluran bayaran sepanjang Ramadan nanti.

Katanya, ia meliputi mana-mana kaunter bayaran PPZ, perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD), perkhidmatan pintu ke pintu, portal rasmi PPZ-MAIWP dan skim potongan zakat bulanan dengan melayari ptgzakat.com.my.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya juga menawarkan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan nanti.

“Antaranya adalah ziarah ramadan sekitar Wilayah Persekutuan, jom mengaji melalui laman facebook PPZ-MAIWP dan cenderahati wakaf al-Quran kepada seribu pembayar terawal yang menunaikan zakat serendah RM50 di kaunter.

“Orang ramai dijemput mengikut laman Facebook, Instagram dan TikTok rasmi Pusat Pungutan Zakat bagi mengikuti perkembangan terkini dan informasi menarik”, katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya