PETALING JAYA: Siasatan telah dilakukan pihak polis berhubung dakwaan seorang individu yang menyatakan pekerjanya telah dipercayai diperas ugut beberapa anggota polis melakukan di Jalan Imbi, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata, siasatan akan dijalankan secara telus dan tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Terkesan satu ciapan di Twitter atas nama Pie-U Ammar Amin bertarikh pada 22 April lalu yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi.
“Dalam hal ini, polis daerah Dang Wangi mengambil maklum berkaitan isu ini dan memohon individu berkenaan supaya hadir ke Ibu pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.
“Polis akan melakukan siasatan sekiranya dakwaan berkenaan adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Zainal, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menularkan ciapan berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Terdahulu, individu berkenaan mendakwa pekerjanya diperas ugut dan diminta bayaran RM200 bagi seorang individu. – UTUSAN