IPOH: Polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook ‘Junaidah June’ kerana memuat naik berita palsu mendakwa seorang anggota polis di Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan tidak bertanggungjawab individu itu telah mendatangkan kegusaran kepada orang ramai untuk menerima suntikan berkenaan.
Malah katanya, keluarga anggota polis terbabit turut menerima kesan akibat tindakan menyebarkan berita tidak sahih.
“Berita kematian anggota itu tidak benar. Dia sebenarnya sedang menerima rawatan di Hospital Taiping kerana mengalami masalah jantung tersumbat.
“Anggota itu stabil dan sedar sepenuhnya. Dia akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Mior Farid berkata, orang ramai tidak boleh mudah percaya kepada berita mahupun kenyataan yang disebarkan di media sosial.
“Jangan percaya kepada kenyataan yang ditularkan tanpa merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk memastikan kesahihannya,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi mengambil dos kedua vaksin Covid-19. – UTUSAN