PN Melaka rayu pertimbang bonus Aidilfitri - Utusan Malaysia

PN Melaka rayu pertimbang bonus Aidilfitri

AHMAD BILAL RAHUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri digesa mempertimbang semula pemberian bonus kepada seluruh penjawat awam dan pesara di Melaka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) negeri, Ahmad Bilal Rahudin berkata, ini berikutan pihaknya menerima banyak maklum balas mendukacitakan daripada penjawat awam dan pesara yang berkhidmat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh memberikan komitmen terbaik kepada negeri.

Beliau berkata, kelompok berkenaan dilihat sangat memerlukan sokongan dan dukungan daripada kerajaan negeri dalam menghadapi situasi amat mencabar bagi menghadapi pandemik Covid-19.

“Pemuda PN Melaka meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri di media arus perdana beberapa hari lepas yang menyatakan bahawa tiada pemberian bonus kepada penjawat awam dan pesara negeri Melaka sempena Aidilfitri tahun ini.

“Kami memohon dan merayu kepada kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus untuk dimanfaatkan khususnya kepada seluruh penjawat awam dan pesara negeri Melaka terutama bagi membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengumumkan, penjawat awam serta pesara kerajaan di negeri ini tidak akan menerima pembayaran bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh kerajaan Pusat pada Khamis lalu.

Beliau berkata, keputusan itu terpaksa dibuat selepas mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang terus menyusut atas pelbagai faktor disebabkan pandemik Covid-19 termasuk kekurangan kemasukan pelaburan asing.

“Melaka tidak mempunyai keuntungan banyak, tidak seperti beberapa negeri lain seperti Selangor dan Sabah yang mampu menyalurkan bantuan sehingga setengah bulan bayaran bantuan khas Aidilfitri.

“Sebelum ini kita pernah menyalurkan sumbangan sekali bayaran kepada mereka (penjawat awam dan pesara kerajaan) termasuk pembayaran khas setengah bulan gaji, namun kali ini kita tak dapat buat pembayaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya