PUTRAJAYA: Dua buah institusi pendidikan agama bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok hingga 6 Mei ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru di Taman Johor Jaya, Johor.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan peningkatan kes secara mendadak dengan 13 kes Covid-19 daripada sejumlah 228 ujian saringan.
Beliau berkata, turut dikenakan PKPD serentak selama dua minggu pada tarikh sama ialah Maahad Tahfiz Al-Quran, Al-Asriah di Banggol Chicha, Jajahan Pasir Mas, Kelantan.
“Sehingga kini Kementerian Kesihatan sudah pun melakukan 46 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 kes positif baharu Covid-19 direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau juga memaklumkan bahawa PKPD yang dilaksanakan di tujuh lokaliti berbeza masing-masing di Sabah dan Pahang akan ditamatkan secara serentak pada esok. Antaranya ialah tiga lokaliti di Daerah Sandakan, Sabah iaitu Institut Latihan Perindustrian Sandakan, Taman Permata dan Taman Seri Labuk yang berakhir pada esok mengikut jadual.
Tidak ketinggalan ujarnya, ialah PKPD di Kampung Gayang, Daerah Tuaran, Sabah yang juga ditamatkan esok seperti dijadualkan setelah semua kes positif sudah pun menerima rawatan.
Sementara itu kata Ismail Sabri, PKPD di Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi, Daerah Rompin, Pahang turut berakhir esok, lebih awal daripada sepatutnya 28 April depan.
“Ia susulan semua kontak telah dikenal pasti dan diasingkan manakala penduduk terlibat sudah disaring dengan hanya enam kes terakhir direkodkan pada 15 April lalu,” katanya. – UTUSAN