PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dikenakan di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Machang, Kelantan mulai esok sehingga 4 Mei ini berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di lokaliti tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, sebanyak 243 ujian saringan dilaksanakan kementerian itu dan daripada jumlah tersebut, 97 kes positif direkodkan.
Beliau berkata, PKPD yang melibatkan dua lokaliti berbeza di Sarawak ditamatkan ekoran trend penurunan kes dan kluster didapati terkawal iaitu di Kampung Batu Gong, Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian apabila kes terakhir direkodkan pada 15 April lalu melibatkan hanya tujuh kes.
“PKPD turut ditamatkan di Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangan institusi tersebut di Lot 493, Jalan Brayun, Bandar Sri Aman apabila sebanyak 523 ujian saringan dilakukan namun 365 kes positif direkodkan dengan kes terakhir dilaporkan pada 16 April lalu iaitu hanya dua kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 110 pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara direkodkan semalam dengan 108 daripadanya dikompaun manakala dua direman dengan kesalahan tertinggi tidak memakai pelitup muka sebanyak 34 kes.
Ujarnya, ini diikuti kesalahan lazim lain iaitu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk di premis (32), tidak mematuhi jarak fizikal (17), rentas kawasan (satu) dan lain-lain kes (26).
Beliau turut memaklumkan, seramai 23 pendatang asing tanpa izin ditahan selain dua lagi diusir melalui Operasi Benteng semalam selain 126 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 565 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya menjalani kuarantin.
“Sejumlah 7,208 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di 77 hotel serta sembilan institusi latihan lain manakala seramai 1,482 individu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan serta 171,276 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin. – UTUSAN