PKPD di 2 lokaliti di Sabah, 2 institusi pendidikan di Kelantan, Pahang

PKPD di 2 lokaliti di Sabah, 2 institusi pendidikan di Kelantan, Pahang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasakan di dua lokaliti di Sabah, dan masing-masing satu institusi pendidikan di Kelantan dan Pahang bermula 17 April hingga 30 April ini berikutan kadar kebolehjangkitan tinggi Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Taman Tawau Lama, Tawau apabila lima kes positif dikesan melalui sembilan ujian saringan manakala lapan kes positif hasil 12 ujian saringan di Kampung Batu Payung, Tawau.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu untuk memastikan pergerakan penduduk di  lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD dikenakan di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan dengan sebanyak 31 kes positif direkodkan daripada 56 ujian saringan. 

“Turut dikenakan PKPD ialah Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang apabila merekodkan 15 kes positif melalui 420 ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu selain masih terdapat 247 sampel ujian menunggu keputusan. 

“Pelaksanaan PKPD adalah memudahkan Kementerian itu mengawal pergerakan keluar masuk sekali gus menyekat penularan Covid-19 di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 1,002 warga asing menjalani ujian saringan  semalam dan merekodkan lima daripadanya positif Covid-19.

Katanya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 683,651 pekerja warga asing menjalani ujian saringan melibatkan 35,279 majikan. 

“Daripada jumlah itu, seramai 10,221 orang disahkan positif manakala 673,430 lagi adalah negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terlibat dengan program saringan ini,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN