PETALING JAYA: Malaysia melalui syarikat minyak nasionalnya, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai perjanjian unitisasi (UA) dengan kerajaan Brunei untuk kawasan Gumusut-Kakap dan Timur Geronggong-Jagus yang terletak di sepanjang sempadan maritim Malaysia-Brunei.
Pemeteraian tersebut adalah kesinambungan kerjasama antara Malaysia dengan Brunei dan membina platform untuk pembangunan bersama kawasan itu oleh Petronas dan Sekretariat Unitisasi Kebangsaan (NUS) Brunei.
Kerjasama tersebut bertujuan untuk meningkatkan nilai yang diperoleh daripada aset-aset tersebut untuk kedua-dua buah negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pemeteraian UA tersebut menjadi bukti sinergi yang dijalinkan antara Petronas dengan Kementerian Tenaga Brunei.
“Ia merupakan satu lagi langkah untuk memperkukuh hubungan yang sudah terjalin lama untuk kejayaan bersama yang lebih gemilang.
“Setelah memeterai perjanjian ini, Petronas percaya bahawa kedua-dua pihak akan meneruskan momentum kukuh ke arah pembangunan sektor tenaga kedua-dua negara untuk pertumbuhan jangka panjang dan kemakmuran bersama Brunei dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pemeteraian perjanjian tersebut bertempat di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei dalam Perundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-23 dengan disaksikan Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Khairi Waddien dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataan bersama oleh Hassanal Bolkiah dan Muhyiddin, kedua-dua pemimpin tersebut mengalu-alukan pemeteraian tersebut dan menganggap UA tersebut akan memberikan momentum positif untuk kerjasama dalam sektor minyak dan gas untuk kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut menggesa Jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditubuhkan untuk menjalankan usaha pembatasan dan tinjauan sempadan secara cekap, terutamanya berkenaan kawasan keutamaan yang dipersetujui dan kawasan dengan kepentingan signifikan untuk rakyat kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin mengulangi persetujuan untuk kedua-dua pihak tidak menjalankan apa-apa aktiviti pembangunan di kawasan yang belum dimuktamadkan pembatasan dan tinjauannya.
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneroka kemungkinan pembentukan kerjasama untuk menjalankan rondaan terlaras bagi memastikan antara lainnya, tiada gangguan kepada kerja-kerja teknikal di kawasan tersebut,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN