Perokok berisiko lebih tinggi dapat komplikasi Covid-19  - Utusan Malaysia

 Perokok berisiko lebih tinggi dapat komplikasi Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perokok yang dijangkiti Covid-19 mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi seperti sindrom gangguan pernafasan akut, kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, dapatan tersebut diperoleh menerusi kajian dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara (NIH) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, ia dijalankan ke atas 5,889 pesakit Covid-19 yang dirawat di semua hospital seluruh negara pada 1 Februari hingga 31 Mei tahun lepas.

“Perbandingan antara perokok dan bukan perokok menunjukkan golongan perokok mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi Covid-19. 

“Dapatan kajian tersebut juga selari dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kajian yang telah dijalankan di beberapa negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Justeru, Noor Azmi menyeru semua golongan perokok mengambil iktibar daripada kesan yang boleh menyebabkan kesihatan mereka menjadi lebih teruk, malah khusus untuk umat Islam pula untuk menjadikan Ramadan bulan terbaik mengamalkan gaya hidup sihat tanpa merokok. 

“KKM dengan kerjasama badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta menambah baik perkhidmatan berhenti merokok. 

“Terkini laman web www.jomquit.com diperkukuhkan untuk memudahkan proses pendaftaran serta kebolehcapaian perkhidmatan rawatan berhenti merokok secara dalam talian,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai dapatan kajian tersebut, Urusetia Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Nor Aryana Hassan menjelaskan, daripada 5,889 pesakit Covid-19, seramai 791 pesakit adalah perokok iaitu bersamaan 13.5 peratus manakala baki 5,098 pesakit bukan perokok. 

Beliau berkata, perokok yang juga pesakit dijangkiti Covid-19 itu terdiri daripada 773 orang lelaki atau 97.7 peratus manakala, seramai 18 orang atau 2.3 peratus dalam kalangan wanita.

“Perokok yang bermasalah jantung, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan penyakit darah tinggi, peratusannya lebih tinggi mendapat komplikasi dibandingkan dengan bukan perokok.

“Kalau kita lihat bagi masalah jantung, 5.2 peratus perokok yang bermasalah jantung berdepan komplikasi berbanding bukan perokok iaitu pada 2.9 peratus. 

“Bagi penyakit paru-paru kronik pula, risiko perokok 1.1 peratus dan bukan perokok (0.5 peratus); perokok dengan diabetes berisiko 12.3 peratus manakala bukan perokok (9.4 peratus) selain penyakit paru-paru kronik (1.1 peratus perokok) dan (0.5 peratus bukan perokok)

“Seterusnya, diabetes pula 12.3 peratus perokok dan 9.4 peratus bukan perokok dan bagi penyakit darah tinggi, sebanyak 16.7 peratus perokok dan 15.7 peratus bukan perokok,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perokok yang dijangkiti Covid-19 mempunyai tahap keterukan jangkitan lebih tinggi berbanding golongan bukan perokok. 

“Untuk tahap tiga (jangkitan paru-paru tidak memerlukan bantuan pernafasan), sebanyak 14.2 peratus adalah perokok berbanding bukan perokok sebanyak 13.5 peratus. 

“Bagi tahap empat (jangkitan paru-paru memerlukan bantuan pernafasan), sebanyak 4.4 peratus adalah perokok manakala, bukan perokok pula sebanyak 3.4 peratus,” katanya. 

Tambah beliau, bagi tahap lima iaitu kritikal, sebanyak 1.6 peratus adalah perokok manakala, sebanyak satu peratus bukan perokok.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya