Perlu tahu batas komunikasi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Perlu tahu batas komunikasi kanak-kanak

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu yang tular berkenaan perbuatan seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perkara itu tidak boleh dianggap remeh dan wajar dikenakan tindakan tegas jika terbukti berlaku.

“Saya memandang serius perkara ini dan melihat tindakan sebegini sebagai perbuatan yang tidak profesional.

“Sebagai orang dewasa, kita perlu mempunyai kesedaran mengenai batas percakapan terutama ketika berkomunikasi agar kanak-kanak tidak terganggu emosi dengan akhlak dan perlakuan guru mereka,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Rina berkata, dalam apa jua situasi sekalipun, perkara sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan jenaka kerana perbuatan rogol itu adalah jenayah yang sama sekali tidak wajar menjadi satu galakan kepada murid.

“Kanak-kanak seharusnya berada di dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat, bebas serta dilindungi daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual daneksploitasi.

“Dalam hal ini, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa bagi setiap kes yang diperakukan kesahihannya,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan gangguan seksual dan pelanggaran hak dan kebajikan kanak-kanak.

“Kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui langkah advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

“Penggubalan undang-undang Anti-Gangguan Seksual juga sedang digubal dan dalam penelitian akhir kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan akta dan peraturan yang lebih baik dapat dilaksanakan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, tindakan termasuk perlakuan victim-blaming amat tidak wajar dinormalisasi kerana ia memberikan satu mesej yang tidak sihat kepada masyarakat dan dikhuatiri akan menyumbang kepada perlakuan jenayah.

“Kita mestilah menghentikan jenaka-jenaka berunsur seksual seperti rogol dan body shaming apatah lagi memberikan contoh-contoh yang tidak bersesuaian dalam aspek memberikan kesedaran tentang gangguan seksual terhadap pelajar di sekolah mahupun kepada masyarakat secara umum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya