Perkon desak SWM batal tender terbuka - Utusan Malaysia

Perkon desak SWM batal tender terbuka

BARISAN pimpinan Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Perkhidmatan Pembersihan dan Pelupusan Sisa Pepejal ketika mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Perkhidmatan Pembersihan dan Pelupusan Sisa Pepejal (Perkon) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mendesak syarikat konsesi, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) membatalkan pelaksanaan tender terbuka serta-merta.

Pengerusi Perkon Johor, Azharudin Md. Sood berkata, bantahan dibuat kerana pelaksanaan tender terbuka itu membuka ruang kepada pelantikan kontraktor baharu sekali gus menamatkan kontraktor sedia ada.

Katanya, pihaknya mendesak kerajaan campur tangan dalam isu ini yang dilihat terdapat salah guna kuasa dan seakan mahu menabur pasir dalam periuk nasi kontraktor sedia ada. 

“Terdapat beberapa faktor bantahan ini dibuat antaranya ialah kebanyakan penender yang berjaya di dalam tender ini tidak mempunyai Lesen Perkhidmatan iaitu syarat mutlak yang perlu ada oleh setiap syarikat.

“Syarat ini ditentukan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) melalui SWCorp manakala lesen dikeluarkan oleh JPSPN mewajibkan syarikat memilikinya bagi menjalankan aktiviti pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Namun begitu, SWM membenarkan penender ini memohon tender yang dikeluarkan serta diberi kelonggaran memohon Lesen Perkhidmatan dalam tempoh tiga bulan setelah kontrak ditandatangani. Jelas ia menyalahi peraturan dan kami percaya, terdapat unsur salah laku dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Azharudin berkata, SWM juga didakwa mengadakan rundingan terus dengan sub kontraktor yang berjaya dalam tender ini dengan meminta mereka menurunkan harga 10 hingga 18 peratus mengikut ketetapan syarikat itu. 

Katanya, dengan tender terbuka yang dibuat secara rundingan terus serta tawar-menawar, SWM telah mengaut sebanyak hampir 55 peratus daripada yuran pengurusan atau kadar bayaran yang mereka terima daripada kerajaan. 

“Jelas di sini bahawa SWM telah melanggar kelulusan yang dibenarkan oleh kerajaan. Kami mohon kerajaan menurunkan kadar yang dibayar kepada mereka sekiranya mereka bertindak demikian.

“Bahkan kami turut merasakan seperti tertipu apabila pernah dijanjikan pemilik SWM, Datuk Lim Chee Meng bahawa tidak ada tender terbuka di kawasan kontraktor sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata, SWM juga tidak mematuhi pembahagian tender kepada kontraktor Bumiputera iaitu hanya 21 peratus bagi negeri ini, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding penglibatan 30 peratus mengikut Dasar Ekonomi Baru.

Jelasnya, daripada 106 kontraktor di negeri ini, hanya 20 sahaja yang mendapat tender secara terbuka itu manakala di Melaka pula, daripada 36 syarikat hanya tiga mendapat tender sementara hanya lima daripada 53 di Negeri Sembilan menerima tender.

“Malah mereka yang dapat tender ini bukan diukur daripada prestasi cemerlang perkhidmatan tetapi kerana kesanggupan membuat tawaran 10 hingga 18 peratus seperti yang diminta.

“Saya minta kerajaan segera campur tangan dalam permasalahan yang dihadapi sub kontraktor di bawah kendalian SWM ini. Kerajaan juga perlu pantau syarikat konsesi ini supaya tidak terkeluar daripada batas perjanjian yang ditandatangani,” ujarnya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya