KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 kepada kesemua kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Penjawat awam yang dimaksudkan meliputi semua gred melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM8 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pejabat Kewangan Negeri akan segera melakukan urusan susulan agar pembayaran dapat dibuat pada 7 Mei ini.
“Turut mendapat pemberian ini sebagai sagu hati kerajaan negeri, penjawat awam Persekutuan bergred JUSA C dan ke atas, yang berkhidmat di negeri ini.
“Keputusan dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang saya pengerusikan pagi ini.
“Ia dibuat berasaskan kemampuan kewangan negeri serta sikap peduli kerajaan negeri terhadap rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam sekalian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berharap wang pemberian itu dapat digunakan sewajarnya.
“Kepada badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini, saya sarankan agar mereka dapat turut membuat pemberian yang serupa kepada pegawai dan kakitangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE