Penjara anak buang ibu bapa - Utusan Malaysia

Penjara anak buang ibu bapa

WARGA emas yang hanya mahu dikenali sebagai Din memilih menjadi gelandangan di sekitar Georgetown, Pulau Pinang sejak lebih setahun lalu ekoran masalah dengan keluarga. - UTUSAN/ NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menggubal satu undang-un­dang khusus lagi tegas bagi me­lindungi ibu bapa yang menjadi mangsa ‘lepas tangan’ anak-anak bagi mengekang perbuatan itu.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, jika perkara itu tidak dikekang le­bih awal, generasi hari ini akan terus ‘mewarisi’ perbuatan sa­ma kepada ibu ba­pa mereka kelak.

Menurut beliau, amat memalukan apabila Malaysia sebagai negara majoriti umat Islam dan mengamalkan budaya ketimuran gagal membendung kes pembuangan ibu bapa sehingga warga emas itu terpaksa berteduh di rumah kebajikan bagi menghabiskan sisa hidup.

“Jadi sudah tiba masanya kita menggunakan saluran undang-undang untuk mengekang kes-kes ibu bapa dibuang seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

“Bukan sahaja hukuman fizikal seperti penjara atau denda malah bukan fizikal iaitu menyenarai hitam nama-nama mereka.

“Kita tidak boleh tolak ansur dalam soal ini kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha termasuk kempen kesedaran tetapi malangnya sehingga kini ia gagal. Jadi kita terpaksa gunakan saluran undang-undang pula,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar menjelaskan, antara faktor didakwa berlaku pengabaian ibu bapa susulan masalah ekonomi apabila anak-anak tidak berupaya menanggung orang tua mereka terutama yang uzur.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu berkata, alasan atau punca seperti itu tidak munasabah sedangkan ketika kecil, ibu bapalah bersusah payah berkorban jiwa dan tenaga untuk mereka.

“Kita kena kembali kepada asas agama iaitu percaya bahawa ibu bapa menjadi tanda keberkatan rezeki. Kalau kita tidak berkira soal rezeki dengan ibu bapa, Insya-Allah akan diperluaskan pendapatan kita,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi pengabaian kanak-kanak dan wanita, Malaysia sudah mempunyai undang-undang khas iaitu apabila anak-anak terancam atau dibuang, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak itu boleh dipenjara.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fatimah Yusro Hashim berkata, negara wajar menggubal undang-undang membabitkan pengabaian warga emas lebih-lebih lagi Malaysia bakal mencapai status negara tua pada 2030 dengan bilangan warga emas ketika itu dijangka mencecah kepada 5.3 juta atau 15 peratus daripada penduduk negara.

Katanya, ia juga demi ke­sejahteraan golongan itu sama dengan menjaga hak anak-anak yang diletakkan ke atas ibu bapa.

Menurut beliau, buat masa ini, undang-undang yang diguna pakai bagi kes-kes membabitkan anak-beranak terlalu umum atau menumpang seksyen di bawah Kanun Keseksaan.

“Ada dua pilihan yang boleh kita buat sekarang sama ada pinda undang-undang sedia ada atau gubal akta baharu, tetapi saya berpandangan le­bih baik undang-undang baharu yang lebih menyeluruh buat jaga kepentingan warga emas,” katanya.

Beliau menegaskan, ia sudah menjadi keperluan mendesak apabila semakin hari makin ramai anak-anak tidak mahu ibu bapa.

“Orang tua macam ‘dibuli’ apabila ada yang dibuang. Kalau tidak buang sekalipun, golongan itu mungkin jadi mangsa dera secara emosi seperti anak-anak tidak peduli ibu bapa walaupun tinggal serumah,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya