Pengurus ladang meninggal semasa memandu di LPT2 - Utusan Malaysia

Pengurus ladang meninggal semasa memandu di LPT2

ROSMAWATI Jali membaca Yasin untuk suaminya yang meninggal dunia di Kilometer 325.7, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kertih di Kemaman, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila suaminya tiba-tiba mengalami sesak nafas ketika memandu di Kilometer 325.7, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kertih di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu turut menyebabkan kenderaan Perodua Alza yang dinaiki pasangan berkenaan bersama tiga anak mereka terbabas ke longkang dan melanggar tebing bukit selepas Khairulafzaruddin Uyob, 46, tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia.

Khairulafzaruddin merupakan pengurus ladang kelapa sawit di Felcra Bukit Sedanan, Melaka.

Rosmawati Jali, 38, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Terengganu untuk menziarahi abangnya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Suami beberapa kali mengadu sakit dada dan saya meminta untuk menggantikannya memandu, tetapi dia menolak.

“Setibanya di lokasi kejadian suami memegang dadanya dan menarik nafas beberapa kali seperti sesak nafas hingga menyebabkan kenderaan yang kami naiki gagal dikawal sebelum terbabas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Rosmawati yang bertugas sebagai pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah rendah berkata, mereka sekeluarga sempat singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di Jabor dengan suaminya mengambil peluang untuk tidur dan berehat lebih 30 minit sebelum meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya