Penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian meningkat

Penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian meningkat

AHMAD Hamzah (dua dari kiri) menyerahkan Geran Agropreneur Muda kepada salah seorang penerima pada program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Sembilan 2021 di Teratak Za'aba, Jempol, Negeri Sembilan hari ini. - FOTO/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Penglibatan golongan muda dalam aktiviti pertanian di negara ini dilihat meningkat terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peningkatan tersebut juga boleh dilihat menerusi penglibatan golongan tersebut dalam Program Agropreneur Muda.

Sehubungan itu jelasnya, pihak kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta menerusi Geran Agropreneur Muda (GAM) pada tahun ini bagi melahirkan kira-kira 750 usahawan muda dalam bidang pertanian selain menarik minat lebih ramai golongan muda dalam bidang berkenaan.

“Selepas PKP, kita lihat memang ada peningkatan ketara, minat golongan muda begitu meningkat dalam bidang pertanian, mungkin ini petanda yang baik.

“Pada tahun lalu, seramai 1,149 orang agropreneur muda seluruh negara telah menerima kelulusan GAM dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21.73 juta,” katanya dalam sidang akhbar program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Sembilan 2021 di Teratak Za’aba, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Dalam pada itu, jelasnya, bagi mendorong lebih ramai golongan muda menyertai bidang pertanian di negara ini, pihak kementerian sentiasa mendedahkan kepada mereka apakah aktiviti pertanian yang berpotensi dan boleh diceburi.

“(Tentu) berdasarkan permintaan yang tinggi, kita lihat apa yang kita kurang dahulu, beras, cili, bawang, itu yang masih belum mencapai tahap mencukupi untuk negara kira, di sini yang kita berikan pendedahan kepada mereka.

“Penternakan ayam, telur sudah mencukupi tapi kita masih kurang bekalan daging lembu, kerbau dan kambing. Itu bidang-bidang yang patut kita berikan perhatian, begitu juga perikanan,” katanya.

Sementara itu, menurut Ahmad, seramai 62 orang agropreneur dari negeri ini telah menerima kelulusan GAM pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM1.18 juta.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 27 orang terlibat dalam industri makanan, sektor tanaman (25), sektor perikanan (6) dan sektor penternakan (4). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya