SHAH ALAM: Pengamal media di negara ini perlu segera diberi vaksin berikutan mereka antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Tokoh Wartawan, Datuk Seri Azman Ujang berkata, pengamal media juga petugas barisan hadapan yang turun padang bagi mendapatkan berita sekaligus meletakkan mereka berhadapan dengan risiko tersebut.
“Oleh demikian, apabila diarahkan untuk menerima vaksin, jangan takut dan ragu-ragu. Ini kerana kesan jangkitan terbukti lebih memudaratkan berbanding kesan pengambilan vaksin penyakit tersebut.
“Vaksin ini perlu diambil untuk perlindungan diri dan saya menyarankan pengamal media segera berdaftar untuk mendapatkan vaksin dengan MySejahtera,” katanya selepas merasmikan Program Penyampaian Bantuan Kepada Petugas Media Sambilan, Bekas Petugas Media Terkesan Akibat Covid-19 di pejabat MyCar di Setia Taipan 2 hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd. Noah Maideen dan Presiden Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM), Mohamad Azfar Afandi Zulkfley.
Sementara itu Mohd.Noah berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikatnya bagi membantu 50 golongan terkesan dalam kalangan pengamal media di Lembah Klang.
“Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mengakibatkan ramai golongan pekerja terjejas.
“Selain membantu pihak pemandu MyCar, kita juga hulurkan bantuan kepada pengamal media dan lain-lain golongan yang memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE