PASIR GUDANG: Penduduk di sekitar bandar raya ini berharap kerajaan dapat mengambil semua langkah yang sewajarnya bagi memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan mereka yang menetap di bandar perindustrian itu untuk tempoh jangka panjang terjamin.
Rata-rata yang ditemui Utusan Malaysia turut mahukan jaminan itu daripada kerajaan kerana mereka bukan sahaja menetap di Pasir Gudang untuk bekerja semata-mata, malah membeli kediaman untuk terus bermastautin di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadli, 29, berkata, jaminan kerajaan adalah penting kerana majoriti penduduk di Pasir Gudang golongan berkeluarga dan memiliki anak-anak yang sedang membesar.
“Saya sendiri berasal dari Selangor, namun berpindah ke Pasir Gudang sejak lebih lima tahun lalu dan memiliki sebuah keluarga yang turut menetap di sini.
“Harapan saya agar pihak berkuasa dapat memastikan keselamatan penduduk bukan sahaja untuk jangka masa pendek, tetapi lebih utama adalah untuk tempoh masa panjang sehingga berpuluh tahun kemudian.
“Ini kerana bukan sahaja saya dan individu lebih berusia yang menjadikan Pasir Gudang sebagai tempat tinggal, tetapi ramai generasi baharu yang lain iaitu anak-anak kami yang mungkin berada di sini lebih lama,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, keputusan ujian mikrobiologi terhadap air Sungai Kim Kim yang mengesan kehadiran bakteria Escherichia coli atau E. coli dalam kuantiti yang tinggi iaitu 410,000 CFU/100mL boleh memudaratkan kesihatan manusia termasuk menjadi punca cirit-birit berdarah.
Pada Mac 2019, pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara waktu.
Harapan sama turut diluahkan seorang suri rumah, Norhanis Mohammad, 35, yang memberitahu jarak rumahnya dengan Sungai Kim Kim hanya kira-kira 1 kilometer.
Menurutnya, kejadian pencemaran sisa toksik di sungai itu pada Mac dua tahun lalu adalah antara detik hitam yang membimbangkan kerana dia mempunyai empat anak-anak masih kecil.
“Siapa yang tidak bimbang apabila kejadian seperti itu berlaku, apatah lagi apabila kami memiliki keluarga yang menetap di kawasan berhampiran.
“Buat ketika ini memang keadaan nampak seperti sudah pulih, namun sebagai penduduk kami tetap berharap agar kerajaan dapat memberi jaminan bahawa kejadian pencemaran tidak lagi akan berulang.
“Bukan sahaja pencemaran di Sungai Kim Kim tetapi di kawasan Pasir Gudang secara amnya kerana lokasi ini menempatkan pelbagai jenis kilang termasuk yang berkaitan dengan bahan kimia,” katanya. – UTUSAN