Penduduk bantah pembinaan menara telekomunikasi - Utusan Malaysia

Penduduk bantah pembinaan menara telekomunikasi

AKMAL Nasrullah Md. Nasir (dua kiri) mengadakan pertemuan dengan wakil MBJB bagi menyerahkan memorandum bantahan penduduk berkenaan projek PR1MA Residensi Tebrau dan pembinaan menara telekomunikasi di Ibu Pejabat MBJB, di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) digesa menyelesaikan isu pembinaan menara telekomunikasi di Taman Melodies, di sini yang mendapat bantahan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir berkata, penduduk mendakwa pembinaan menara itu tidak pernah dibincangkan dan dibina tanpa persetujuan mereka.

Katanya, penduduk juga mendakwa ahli majlis kawasan berkenaan tidak hadir apabila dijemput bagi membincangkan perkara tersebut pada 14 April lalu.

“Surat jemputan sudah lama diberi namun pada pagi 14 Apri itu, ahli majlis berkenaan memaklumkan tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur sedangkan kita tahu sekarang tidak boleh merentas negeri.

“Menara itu tidak boleh dibina tanpa mendapat kelulusan ahli majlis berkenaan yang mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT), kita hendak tahu adakah dia sudah meluluskan perkara itu. Ketika ini ahli majlis tersebut seakan-akan lepas tangan dan menyerahkan kepada saya untuk selesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili pembeli projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Residensi Tebrau untuk menyerahkan memorandum kepada Setiausaha MBJB, Miswan Yunos di Ibu Pejabat MBJB di sini, semalam.

Sementara itu, berhubung memorandum berkenaan, Akmal Nasir mempersoal bagaimanakah projek PR1MA Residensi Tebrau itu memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sedangkan sistem paipnya belum siap.

“Saya dimaklumkan CCC untuk PR1MA itu dikeluarkan pada 31 Mac lalu sedangkan sepatutnya sijil berkenaan hanya diberi selepas semua penilaian terhadap komponen kerja pembinaan seperti asas bangunan, kerja tanah, sistem paip, sistem longkang dan saliran, landskap, lampu jalan dan sistem keselamatan kebakaran dibuat.

“Persoalannya bagaimana CCC boleh dikeluarkan dalam keadaan sistem paip di PR1MA belum siap sepenuhnya. Apakah kontraktor bertindak memenuhkan tangki air secara manual bagi mendapatkan kelulusan CCC sedangkan paip air sebenarnya belum disambung?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tahu perkembangan tersebut memandangkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil pembeli pada 8 April lalu, seminggu selepas CCC dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN