Pemberhentian projek bina kapal tempur TLDM jejas 10,000 pekerja

Pemberhentian projek bina kapal tempur TLDM jejas 10,000 pekerja

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan diminta meneruskan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah terhenti pembinaannya sejak Disember 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr.  Zambry Abd. Kadir berkata, penangguhan projek itu memberi kesan kepada kira-kira 10,000 pekerja tempatan dan menjejaskan 400 syarikat pembekal.

Malah dalam tempoh itu katanya, 50 peratus syarikat pembekal terpaksa gulung tikar ekoran terkesan dengan penangguhan berkenaan.

“Perkara ini telah dibawa perbincangan bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Bhd. (Boustead), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi melihat isu ini secara serius.

“Untuk isu ini, kerajaan diminta mencari penyelesaian terbaik dengan memberi pertimbangan sewajarnya untuk projek itu diteruskan bagi membantu vendor dan pekerja keluar dari masalah yang dihadapi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil perbincangan bersama Ismail Sabri dan Mohamed Khaled, beliau dimaklumkan keadaan di limbungan agak rumit kerana mempunyai pelbagai masalah yang memerlukan tindakan menyeluruh untuk diselesaikan.

Katanya, sebagai contoh, masalah itu mungkin disebabkan isu pengurusan, kewangan atau kerana persefahaman yang telah dibuat di peringkat awal yang akhirnya memberi kesan besar.

“Bagaimanapun, ia agak sulit dan memerlukan penelitian mendalam,” katanya.

Tambah beliau, penangguhan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi tempatan malah negara kerana ia merupakan sebuah projek nasional.

Katanya, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dirayu agar dapat segera memulihkan keadaan dan tekanan ekonomi yang terhasil daripada projek yang ditangguhkan itu.

“Ini adalah projek besar negara jadi kita minta kerajaan beri perhatian serius. Amat mendukacitakan sekiranya projek yang menghadapi masalah ini tidak ditangani kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pertahanan menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekal enam aset TLDM itu.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, ia adalah tiga cadangan hala tuju yang akan dikemukakan ke Kabinet sebagai langkah menyelamatkan semula kontrak.

Mengikut perancangan asal katanya, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima, namun sehingga 31 Julai 2020 belum ada kapal disiapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN