Pembanci penyumbang kepada kejayaan DOSM - Utusan Malaysia

Pembanci penyumbang kepada kejayaan DOSM

Seorang responden di Puchong, Selangor mengisi borang bancian 2020 sambil di perhatikan oleh pembanci. – UTUSAN /AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tugas seorang pembanci tidak mudah. Ini kerana, ada kalanya pembanci perlu datang berulang kali ke lokasi atau kediaman penduduk semata-mata untuk mengumpul maklumat peribadi mereka yang penting untuk perancangan masa hadapan negara.

Kawasan liputan yang luas dan taburan penduduk yang merata, antara cabaran dihadapi oleh pembanci yang memikul tanggungjawab menjayakan Banci Penduduk Perumahan Malaysia 2020.

Maklumat tepat yang dikumpulkan oleh mereka adalah faktor kejayaan terhadap projek itu yang digalas oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengakui, tidak semestinya pembanci pergi membanci, mereka akan terus mendapat hasil.

“Ada masa apabila waktu yang pembanci datang tidak sesuai dan penduduk tiada di rumah. Justeru, di sesetengah tempat, pembanci harus datang lebih daripada sekali untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka.

“Cabaran di kawasan pedalaman ialah tempatnya jauh dan perjalanan harus diatur dengan teliti. Pembanci harus habiskan masa kira-kira dua atau tiga hari di kawasan itu,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Ujarnya, bagi kawasan bandar pula rintangan yang dihadapi pembanci ialah sukar mendapat akses kepada penduduk yang tinggal di kondomonium.

Secara purata, pembanci dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk selesaikan bancian 300 buah rumah iaitu kira-kira 10 atau 12 rumah sehari.

Mohd. Uzir berkata, selayaknya pembanci-pembanci digelar wira dan wirawati negara kerana komitmen besar yang diberikan mereka supaya masyarakat kelak dapat menikmati manfaat daripada pengumpulan data itu.

Kata beliau, data berkualiti yang diperoleh daripada bancian itu mencerminkan keadaan sosial demografi masyarakat, yang membolehkan peruntukan negara dapat diselaraskan mengikut keperluan kawasan.

“Banyak perancangan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan data berkualiti. Kami memastikan ada pembanci yang terlatih, berdisiplin dan amanah untuk memikul tangungjawab tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, mana-mana individu yang enggan bekerjasama dalam menjayakan banci penduduk dan perumahan itu boleh dikenakan tindakan seperti denda atau dipenjara.

Namun, katanya, buat masa ini pendekatan yang diambil pihaknya ialah memujuk dan meminta kerjasama daripada orang ramai.

“Ramai yang tidak tahu, hasil daripada bancian juga boleh mewujudkan program-program dan kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat.

“Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan mempunyai majoriti penduduk warga emas, berdasarkan data yang diperoleh, kerajaan boleh meningkatkan kemudahan atau fasiliti untuk warga emas di situ,” katanya.

Justeru katanya, tiada alasan untuk penduduk di Malaysia tidak kira warganegara atau bukan, memberi kerjasama kerana pihaknya menyediakan borang dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Korea dan Jepun selain bahasa Melayu dan Inggeris.

“Orang yang tidak memberi kerjasama boleh dianggap tidak bertanggungjawab. Meraka akan menyesal (apabila tidak memperoleh pelbagai kemudahan disediakan kerajaan kelak),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya