Pemaju perumahan penyelamat dilantik baik pulih projek terbengkalai

Pemaju perumahan penyelamat dilantik baik pulih projek terbengkalai

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempunyai dana yang khusus untuk membiayai projek perumahan terbengkalai.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT akan melantik pemaju penyelamat bagi mengatasi masalah projek terbengkalai. 

“Pemaju perumahan penyelamat ini akan melakukan kerja-kerja memulihkan projek terbengkalai peringkat demi peringkat,” katanya ketika mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia berhubung sebanyak 36,528 rumah terbengkalai yang melibatkan 180 projek di negeri ini.

Keadaan itu meletakkan 36,000 pembeli dalam dilema kerana 160 daripada 180 projek tersebut adalah perumahan mampu milik.

Mengulas mengenai kebenaran untuk pihak pembeli rumah melakukan kerja-kerja ubah suai di lokasi projek terbengkalai, Zuraida berkata, kerja ubah suai hanya boleh dilakukan jika pembeli rumah mendapat kebenaran pemaju.

“Tanpa kebenaran pemaju atau sesuatu projek perumahan yang sudah siap tetapi belum mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) maka kerja-kerja ubah suai tidak boleh dijalankan.

“Jika kerja ubah suai dilakukan tanpa kebenaran maka kerja-kerja tersebut dianggap seperti memasuki kawasan tanpa kebenaran dan boleh diambil tindakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Zuraida berkata, tiada keperluan mewujudkan prosedur operasi standard baharu untuk pengunjung bazar Ramadan kerana SOP sedia ada sudah memadai.

Jelasnya. SOP seperti memakai pelitup separa muka dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal satu meter sepatutnya sudah difahami semua orang.

“SOP sudah ada dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama lagi. Jika SOP baharu hendak dibuat SOP sedia ada perlu dirujuk.

“Memang ada gambar yang tular pengunjung bazar Ramadan tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal tetapi sekarang masih lagi hari pertama dan kedua dan mereka belum biasa lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya