KANGAR: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan, Mohd. Firdaus Garasiah, 21, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) perlu menerima hakikat buat tahun kedua berturut-turut dia tidak dapat pulang beraya di kampung di Sandakan, Sabah.
Penuntut tahun kedua jurusan Kejuteraan Kimia bersama rakan-rakan lain perlu reda beraya di kampus jika pergerakan rentas negeri terus tidak dibenarkan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
Mohd. Firdaus berkata, perasaan rindu menyambut hari raya di kampung cukup menebal, namun semua orang perlu berkorban demi melawan pandemik tersebut.
“Tahun lepas sudah beraya di Unimap, tahun ini nampaknya perlu jugalah beraya di sini. Sedih dan rindu memanglah ada sebab tidak boleh beraya dengan ibu serta ayah namun kita semua perlu reda.
“Di asrama ini (Asrama Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani, Wang Ulu), ada lebih 300 penuntut dan tahun ini nampaknya beraya bersama kawan-kawan lagilah. Sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan tidak dapat pulang beraya di kampung,” kata anak sulung daripada tiga beradik kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, pelajar Unimap berkemungkinan tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung jika pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Pengarah Pusat Kesihatan Unimap, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dilaporkan berkata, pihaknya menunggu arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran rentas negeri.
Terdahulu, kebimbangan peningkatan kes Covid-19 serta gelombang keempat mendorong Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan supaya perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan pada sambutan terbesar umat Islam.
Seorang lagi mahasiswa Unimap, Sharifah Nazleen Syed Idris, 23, berkata, suasana beraya di kampus bersama kawan buat kali pertama bakal menjadi kenangan atau pengalaman baharu bagi mereka.
Kata anak bongsu dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu, dia bersama rakan-rakan di asrama Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani mungkin mengatur aktiviti seperti jamuan berkonsepkan ‘pot luck’ bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Penuntut tahun kedua jurusan Kejuteraan Alam Sekitar itu berkata, mereka reda jika tidak dapat beraya di kampung kerana memahami situasi pandemik Covid-19 ketika ini.
“Mungkin kami boleh cipta kenangan atau pengalamam baharu beraya bersama kawan-kawan di kampus ini. Ini adalah pengalaman kali pertama saya tidak pulang beraya bersama keluarga.
“Selalunya menjelang hari raya saya akan bantu ibu memasak hidangan seperti rendang daging dan lemang tetapi tahun ini mungkin ibu terpaksa masak sendirian,” katanya. – UTUSAN