Pelajar kolej tidak perlu bayar kompaun - Utusan Malaysia

Pelajar kolej tidak perlu bayar kompaun

MOHD. Akmal Kamaruddin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada kakitangan Klinik Kesihatan Selama semasa melawat klinik itu di Selama, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Kes enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang dikompaun RM1,500 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 selesai apabila mereka tidak perlu membayar kompaun yang dikenakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, beliau telah bertemu Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming dan pegawai kesihatan daerah Kampar berhubung kes berkenaan.

“Hasil daripada pertemuan dan perbincangan itu, selepas enam pelajar itu membuat rayuan, mereka tidak perlu membayar apa-apa pun.

“Tak perlu bayar apa-apa dan kes ini telah selesai,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Selama, di sini hari ini.

Mohd. Akmal berkata, sebelum ini wujud persepsi berikutan kes berkenaan bahawa kerajaan negeri langsung tidak membantu pelajar yang dikompaun.

“Saya juga telah berbincang ibu bapa pelajar terlibat dan memberitahu kes itu telah selesai,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang mendapat kerjasama semua pihak itu disifatkan terbaik dan sangat membantu para pelajar terbabit yang datang dari keluarga asnaf.

Katanya, beliau juga telah berjumpa dengan salah seorang bapa pelajar terbabit bagi memberi semangat untuk keluarga mereka dan menyatakan perkara itu diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Jadi isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi dan saya berharap jangan ada pihak yang memutarbelitkannya bagi tujuan untuk mewujudkan persepsi negatif dan menaikkan kemarahan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN