Pelajar dikompaun, Pemuda UMNO Perak tawar khidmat guaman

Pelajar dikompaun, Pemuda UMNO Perak tawar khidmat guaman

FARIDZUL AZLAN ABD. SHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekretariat Undang-Undang dan Perlembagaan Pemuda UMNO Perak sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusinya, Faridzul Azlan Abd. Shani berkata, khidmat itu disediakan kepada pelajar terlibat yang dikenakan denda ekoran tidak memakai pelitup muka di kawasan kolej.

Katanya, langkah sewajarnya juga akan diambil memandangkan mereka terkejut dengan tindakan saman oleh anggota penguat kuasa.

“Saya difahamkan, pelajar-pelajar di Kolej Matrikulasi itu terkejut dengan tindakan saman oleh pihak berkuasa di dalam kampus mereka.

“Kehadiran pihak berkuasa sepatutnya ditumpukan kepada isu-isu keselamatan lain di kolej berkenaan tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Tindakan tidak bertimbang rasa ini bukan sahaja menyebabkan tekanan malah gangguan emosi dan psikologi kepada pelajar yang telah lima bulan berada dalam kawasan asrama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, selain mengenakan kompaun, Kementerian Kesihatan atau mana-mana pihak berkuasa perlu menggunakan budi bicara semasa menjalankan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Justeru itu katanya, kementerian atau pihak berkuasa lain diminta agar memberikan pertimbangan untuk menarik balik kompaun dengan mengeluarkan amaran atau menawarkan potongan yang berpatutan kepada pelajar tanpa perlu mereka membuat rayuan.

“Diharapkan penyelesaian yang baik dapat dicapai dalam usaha mengimbangi penggunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam menjalankan tugas dengan keadaan semasa pelajar-pelajar terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitternya hari ini memberitahu bahawa Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, satu ciapan di Twitter yang dipercayai dimuat naik seorang lelaki menarik perhatian warga maya apabila mendedahkan terdapat pelajar di kolej berkenaan dikenakan kompaun RM1,500 oleh petugas kementerian atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan kolej.

Tindakan petugas agensi terbabit yang disifatkan ramai sebagai tanpa budi bicara itu mencetuskan pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata mempersoalkan kompaun dikeluarkan.

Difahamkan, kesemua pelajar kolej itu telah lima bulan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka bagi mengekang penularan Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN