Peguam didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram RM6.5 juta

Peguam didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram RM6.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6.5 juta.

Tertuduh, M. Pathmarajah, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berlainan iaitu di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Kamarudin Kamsun.

Di hadapan Sabariah, Pathmarajah didakwa atas tiga tuduhan iaitu menerima wang RM3,735,200, RM640,070 dan RM2,161,330 melalui beberapa cek daripada Tan Bee Kim & Partners yang didakwa hasil aktiviti haram.

Cek itu dimasukkan ke dalam dua akaun semasa sebuah bank milik Tetuan Mazwan Pathma & Co. yang merupakan rakan kongsi firma guaman berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini, antara 8 Ogos 2017 dan 12 Februari 2018.

Pathmarajah turut didakwa atas dua tuduhan memindahkan wang berjumlah RM2.6 juta hasil aktiviti haram daripada akaun semasa sebuah bank milik Tetuan Mazwan Pathma & Co. ke dalam akaun simpanan tetap firma guaman itu dan sebuah syarikat lain.

Dia turut didakwa menggunakan wang berjumlah RM1.08 juta hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Tetuan Mazwan Pathma & Co. melalui dua keping cek kepada sebuah syarikat di antara 12 dan 15 Februari 2018.

Di hadapan Kamarudin, Pathmarajah turut didakwa atas tiga tuduhan memindahkan wang berjumlah RM3.15 juta hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Tetuan Mazwan Pathma & Co. ke dalam akaun semasa lain milik firma guaman sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Maarof, Bangsar Baru, di sini, di antara 16 Ogos 2017 dan 21 Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda lima kali ganda atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt menawarkan jaminan RM600,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan kerana membabitkan kesalahan serius.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Vignesh Kumar memohon jaminan rendah dengan alasan beliau adalah penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tiga anak yang masih meneruskan pengajian tinggi.

“Tertuduh mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai peguam dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya