PDRM: Hamid dakwa berlaku campur tangan politik - Utusan Malaysia

PDRM: Hamid dakwa berlaku campur tangan politik

ABDUL Hamid Bador bercakap kepada media dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak sepatutnya.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara yang bakal menamatkan khidmatnya pada 4 Mei ini  mengakui hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hamzah Zainuddin  kurang baik atau “bad blood”.

“Jangan megah sangat, (kata) kita menteri dalam negeri berkuasa sangat. Come on,” kata beliau pada sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini.

Selain itu, Hamid turut menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah  dicemari “unsur politik”.

Menurut beliau,  menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan.

“Dua kali saya bawa perkara ini ke perhatian Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara namun masih ada campur tangan daripada individu tertentu dalam pasukan ini.

“Saya mahu jelaskan tanggungjawab menteri selaku pengerusi SPP ada hadnya.

“Pendedahan ini dibuat bukan untuk melobi dilanjutkan perkhidmatan tetapi mahu menjelaskan bahawa menteri tidak boleh campur sebarangan dalam urusan polis,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Hamid memberitahu, banyak siasatan salah laku terhadap polis tergantung, dan sepatutnya ahli suruhanjaya itu mencari jalan untuk menyelesaikan bukan bertemu hanya untuk “minum kopi”.

Tegas beliau, suruhanjaya yang  dipengerusikan Hamzah seolah-olah tidak begitu serius dan hanya  bermesyuarat empat kali setahun dan bukan setiap bulan.

“Inilah situasi yang berlaku. Bayangkan jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengendalikan urusannya seperti ini.

“Inilah sebabnya kenapa SPP tidak patut dipengerusi oleh seorang menteri. Lebih baik serah kepada seorang hakim atau bekas hakim. Apabila ia disertai menteri, akan ada unsur politik,” tegasnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya